BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, July 17, 2010

Puisi

Baca puisi di bawah dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung telah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Tetakkan parang ke dahan sena,
Belah buluh taruhlah temu;
Barang kerja takkan sempurna,
Apabila tidak menaruh ilmu.

Menanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati dan bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

Banyak orang pergi menjala,
Menjala udang di dalam parit;
Jagalah diri jangan tercela,
Rosak bangsa nanti terpalit.

Jawab soalan-soalan yang berikut.
1. Berdasarkan puisi di atas, semasa muda kita hendaklah ...
A. bertanggungjawab
B. patuh pada arahan
C. tekun berusaha
D. bekerjasama

2. Dengan ilmu pengetahuan, pekerjaan seseorang itu akan menjadi lebih ...
A. pantas
B. halus
C. teratur
D. disukai

3. Apakah keburukannya jika kita selalu mengikut hawa nafsu?
A. menyusahkan negara
B. memudaratkan kawan
C. merugikan diri
D. membebankan masyarakat

4. Antara yang berikut, yang manakah tidak benar tentang puisi di atas?
A. Ilmu amat penting dalam kehidupan
B. Tanpa ilmu, sesuatu pekerjaan tidak akan menjadi sempurna.
C. Orang yang rajin berusaha ialah orang muda dan mentah.

5. Apakah jenis puisi di atas?
A. Pantun nasihat
B. Sajak nasihat
C. Syair nasihat

Thursday, July 8, 2010

Penulisan

Isi tempat kosong dengan pilihan jawapan yang betul.

Sungguh indah di pagi hari,
Tiung menyanyi di pohon keranji

Patuhilah peraturan di jalan raya
Selamat tiba ke tempat dituju
Tolong menolong dalam kesusahan
Memupuk rasa belas kasihan

Makan nasi di Kuala Pahi
Makan dengan berlaukkan kerang
Membazir itu amalan syaitan
Berjimat hidup senang


Buah durian sedap dimakan,
Boleh dibeli di tepi jalan;
...................................................................,
.......................................................... .........


....................................................................,
....................................................................;
Hasad dengki hendaklah dijauhi,
Hati bersih semua sayang.


Pagi-pagi ke kebun rambutan,
Hari gelap barulah pulang;
.................................................................. ,
..................................................................


......................................................................,
......................................................................;
Jangan suka menyombong diri,
Nanti kita akan dibenci.


Megah berkembang si bunga raya,
Hinggap si kumbang menghisap madu;
..................................................................,
...................................................................

Pantun teka-teki

Dibawa orang pergi menjaja,
Matanya banyak telinga tiada;
Walaupun ia bukannya raja,
Di atas kepalanya terhias mahkota.

Rakan karibku adalah tali,
Bermain denganku mestilah berani;
Dilepas aku hidup, dipegang mati,
Di bawa angin menari-nari.

Pinggangnya diikat dengan tali,
Kakinya satu pandai menari;
Dapat berlari sebelum mati,
Dicampak hidup dipegang mati.

Nyaring sungguh bunyi suara,
Butangnya di tekan berkali-kali;
Ada orang cakap berdua,
Tetapi di mana seorang lagi?

Pantun Budi

Pergi ke pulau menggali ubi,
Singgah ke beting dilayar juga;
Sepuluh kali kita berbudi,
Kalau miskin terbuang juga.

Pada berlari baik melompat,
Barang dicari segera dapat;
Sudah berbudi jangan diumpat,
Balasan baik syurga yang dapat.

Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.

Penat saya bertanam padi,
Nanas juga dipandang orang;
Penatlah saya menanam padi,
Emas juga dipandang orang.

Ambil pisau potong pinang,
Kait-kait batang berduri;
Orang jahat lagi dikenang,
Inikan pula baik budi.

Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.

Sunday, July 4, 2010

KANDUNGAN PANTUN MELAYU

Pembayang atau sampingan
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.

Maksud dan isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersirat apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema)

Perkataan
Pantun biasnya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memamparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.

Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya. Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a

Pantun dibawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris. Contoh pantun yang baik:

Ba/ik/ ber/ga/las/ ba/ik/ ti/dak,
Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/;
Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

Ciri-ciri pantun yang baik
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-mengandungi 4 kerat/baris
-jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
-jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
-ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
-bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama a,b,a,b.
-bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
-maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup.
-sarat dengan ciri-ciri tradisional- penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud.
-mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang
melahir dan menggunakannya.

Jenis-jenis pantun
-Pantun 2 kerat
-Pantun 4 kerat(jenis paling popular)
-Pantun 6 kerat
-Pantun 8 kerat
-Pantun 10 kerat
-Pantun 12 kerat
-Pantun 14 kerat
-Pantun berkait

Fungsi Pantun
-Memberi nasihat sosialisasi dan pendididikan
-Sindiran atau tempelak
-Melepaskan rindu dan kasih sayang
-Menyatakan penghargaan/terima kasih
-Berteka-teki atau mencabar ketangkasan fikiran
-Hiburan atau jenaka

Di mana orang berpantun
-Majlis pertunangan dan perkahwinan
-Teks pengacara/juruacara dan ucapan dalam majlis rasmi
-Pertandingan berbalas pantun
-Alunan lagu rakyat
-Lagu kanak-kanak
-Lagu-lagu asli
-Dikir Barat dan lain-lain lagi


Dewan Bahasa dan Pustaka