BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, December 6, 2010

TAKWIM HIJRAH

1 Muharam 1432H

Kalendar Islam atau takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab. Perisiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah.

Orang Arab memberi nama bulan-bulan Islam dengan melihat keadaan alam dan masyarakat pada masa-masa tertentu sepanjang tahun. Ia diterima pakai hingga sekarang.

*Muharam
Ertinya yang diharamkan atau menjadi pantang larang. Dinamakan Muharam kerana pada bulan itu dilarang menumpahkan darah atau berperang.


*Safar
Ertinya kosong. Penamaam Safar terjadi kerana pada bulan itu, semua orang lelaki Arab zaman dahulu pergi meninggalkan rumah untuk merantau, berniaga dan berperang sehingga pemukiman mereka tiada orang lelaki.

*Rabiul Awal
Ertinya berasal dari kata Rabi'(menetap) Awal (Pertama). Masa kembalinya kaum lelaki yang telah meninggalkan rumah atau merantau. Pada bulan ini juga berlaku banyak peristiwa bersejarah bagi umat Islam.

*Rabiul Akhir
Ertinya masa menetap kaum lelaki di rumah untuk tempoh penghabisan.

*Jamadil Awal
Ertinya Jumadi (kering) dan Awal (pertama). Bulan ini merupakan awal musim kemarau, apabila masalah kekeringan mula terjadi.

*Jamadil Akhir
Ertinya musim kemarau yang penghabisan.

*Rejab
Ertinya mulia. Ini kerana bangsa Arab masa dulu sangat memuliakan bulan ini, antaranya dilarang berperang.

*Sya'aban
Ertinya berkelompok. Orang Arab pada bulan ini lazimnya berkelompok mencari nafkah. Peristiwa penting bagi umat Islam yang terjadi pada bulan inii adalah perpindahan kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah (Baitullah)

*Ramadan
Ertinya sangat panas. Bulan ini merupakan satu-satunya bulan yang tersebut dalam al-Quran, satu bulan yang memiliki keutamaan, kesuciaan dan pelbagai keistimewaan.

*Syawal
Ertinya kebahagiaan, iaitu kembalinya manusia ke dalam fitrah (kesucian) selepas menunaikan puasa dan membayar zakat fitrah serta saling bermaaf-maafan. Itulah maksud membahagiakan.

*Zulkaedah
Ertinya Zul (pemilik) dan Kaedah (duduk). Bulan ini merupakan waktu istirehat bagi kaum lelaki Arab dahulu. Mereka menikmatinya dengan beristirehat di rumah mereka.

*Zulhijjah
Ertinya menunaikan haji. Pada bulan ini umat Islam sejak dari nabi Adam A.S menunaikan ibadah haji.

Saturday, November 27, 2010

PBBK- EDIT BAHAN

KATA SENDI NAMA

Kata sendi adalah kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa

nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat.

Berikut ini adalah panduan tentang penggunaan kata sendi dalam ayat.

Kata Sendi

Penggunaannya

Ayat Contoh

akan/ kepada/ terhadap

untuk menunjukkan emosi dan sikap

1. Adik sayang akan kucing.

2. Ya Allah, kepadaMu, aku berserah.

3. Dia mengambil berat terhadap pelajaran.

bagi/untuk

untuk menentukan sesuatu yang dibezakan daripada yang lain

1. Pen itu dibeli untuk anaknya.

2. Jamuan itu bagi guru-guru baru.

dari

untuk menunjukkan tempat dan masa

1. Mereka baru pulang dari Johor.

2. Dia tidak sedar diri dari pagi tadi.

daripada

untuk orang, perbandingan, asal kejadian, dan menunjukkan keanggotaan

1. Pasukan Kedah lebih hebat daripada pasukan Johor.

2. Kuih itu dibuat daripada tepung sagu.

3. Anggota pancaragam itu terdiri daripada murid-murid sekolah.

di

untuk tempat

Di dalam dompet itu ada wang.

dengan

untuk menyatakan makna bersama-lama, bandingan setara, keterangan cara, dan penggunaan sesuatu sebagai alat

1. Mak Jah ke klinik dengan anaknya.

2. Dia dapat melepaskan diri dengan bersusah payah.

3. Adik menulis dengan pensel.

4. Markah saya sama dengan markahnya.

hingga/

sampai

untuk menunjukkan peringkat masa, tempat, dan had tertentu

1. Dia bekerja hingga malam.

2. Dia berjalan kaki sampai Ipoh.

ke

untuk tempat dan benda konkrit

1. Kereta api menuju ke Padang Besar.

2. Cawan itu terhempas ke batu.

kepada

untuk menunjukkan orang atau kata ganti diri

Kes itu diserahkan kepada pihak polis.

oleh

untuk menunjukkan perlakuan pasif yang berawalan di- dan ter-

1. Buku itu dibaca oleh Salmi.

2. Bukit yang tinggi itu terdaki olehnya.

pada

untuk menunjukkan masa dan tempat, manusia, binatang, benda abstrak, dan benda konkrit tertentu

1. Kereta api tiba pada pukul lima petang.

2. Novel itu ada pada Rahim.

3. Perkara itu benar pada pandangan saya.

4. Serikaya itu disapukan pada roti.

sejak

untuk menyatakan makna suatu jangka masa

Dia tidak makan sejak semalam.

seperti/

umpama/bak

untuk menunjukkan persamaan dengan yang lain

1. Suasana dalam kelas itu bising seperti keadaan di pasar.

2. Badannya besar umpama ahli gusti.

3. Hidungnya mancung bak seludang.

tentang

untuk menyatakan makna mengenai sesuatu

Beliau berucap tentang masalah penagihan dadah.

Arahan : Betulkan penggunaan kata sendi nama dalam ayat-ayat

berikut.

1. Saya bercita-cita menjadi seorang doktor di masa hadapan.

_______________________________________________________

2. Saya pulang di rumah pada pukul 6.00 petang.

_______________________________________________________

3. Setiap pagi Janaki bangun dari tidur pada pukul 6.30 pagi.

_______________________________________________________

4. Dia duduk bersila daripada waktu sesudah sembahyang Isyak sampailah

menjelang dinihari.

_________________________________________________________

5. Aku memperkenalkan Ira padanya dengan perasaan bangga.

_________________________________________________________

6. Aku tidak takut . Rumah ini sudah cukup sesuai padaku.

__________________________________________________________

7. Sebenarnya, aku amat gembira mendengar puji-pujian tentang kejayaanku

itu.

___________________________________________________________

8. Dia berjalan menuju ke arahku dan diikuti dengan dua orang wanita yang

tidak kukenali.

___________________________________________________________

9. Remang fikiran lelaki tua itu berbaur akan keremangan senja.

____________________________________________________________

10. Aku menceritakan kepada Natasha terhadap apa-apa yang aku dengar

daripada Khatimah.

____________________________________________________________

SKEMA JAWAPAN

Arahan : Betulkan penggunaan kata sendi nama dalam ayat-ayat

berikut.

1. Saya bercita-cita menjadi seorang doktor pada masa hadapan.

2. Saya pulang ke rumah pada pukul 6.00 petang.

3. Setiap pagi Janaki bangun daripada tidur pada pukul 6.30 pagi.

4. Dia duduk bersila dari waktu sesudah sembahyang Isya sampailah

menjelang dinihari.

5. Aku memperkenalkan Ira kepadanya dengan perasaan bangga.

6. Aku tidak takut . Rumah ini sudah cukup sesuai bagiku.

7. Sebenarnya, aku amat gembira mendengar puji-pujian terhadap

kejayaanku itu.

8. Dia berjalan menuju ke arahku dan diikuti oleh dua orang wanita yang

tidak kukenali.

9. Remang fikiran lelaki tua itu berbaur dengan keremangan senja.

10. Aku menceritakan kepada Natasha tentang apa-apa yang aku dengar

daripada Khatimah.

Ahli Kumpulan:

1. ZURAIDA BINTI OTHMAN

2.NOREHA BINTI SARMADI

3. MAHANI BINTI M.AMIR

4. NORIAH BINTI MD. JIDIN

5. AIDAH BINTI SULAIMAN

Friday, November 5, 2010

Karnival Bahasa Melayu - 2.11.10





























Monday, October 25, 2010

Bunga Kebangsaan Malaysia

Yang mana satu bunga kebangsaan Malaysia.


Kategori: Objek Warisan Ketara-2007 yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Butiran Warisan : Bunga Raya (Hibiscus Rosa-sinensis)



Latar Belakang Sejarah:

Pada peringkat awal pemilihan, tujuh jenis bunga telah dicadangkan untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga yang dicadangkan adalah kenanga, melur, teratai, mawar, cempaka, tanjung dan bunga raya. Setelah satu proses pemilihan yang rapi, bunga raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu TYM Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj.

Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran. Ia terus menjadi kemegahan negara apabila ia digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan syiling Malaysia. Ia menjadi perhiasan di bangunan Parlimen dan menjadi simbol Filem Negara.

Bunga raya juga dipilih sebagai lambang kebanggaan berdasarkann kepada beberapa sifat bunga raya yang unik. Bentuk lima kelopak yang terdapat pada bunga raya telah dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara di mana ia merupakan salah satu strategi untuk mencapai perpaduan negara serta masyarakat yang adil dan saksama.

Pada tahun ini 2010, genaplah 50 tahun Bunga Raya diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan Malaysia. Kementerian Penerangan dan Kebudayaan dalam kenyataannya berkata sambutan yang julung kali diadakan untuk meraikan bunga raya sebagai bunga kebangsaan diharapkan dapat memupuk kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai bunga raya sebagai bunga kebangsaan. Sempena sambutan tersebut, wang syiling khas yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan setem istimewa yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia serta lagu tema Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan negara akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.


Thursday, October 21, 2010

Karangan Fakta

Pengenalan

1. Karangan jenis ini meminta murid memberi pendapat, saranan dan idea terhadap sesuatu tajuk .

2.Karangan ini antara jenis karangan yang popular diuji dalam UPSR.

3. Kunci kata bagi karangan fakta biasanya memerlukan calon menulis karangan tentang

faedah, kebaikan, kepentingan dan cara-cara.

4. Setiap perenggan memerlukan idea yang berlainan dan murid perlu menghuraikan isi terlebih

dahulu, kemudian diikuti huraian yang berbentuk contoh dan kesan.

5. Gunakan bahasa yang tepat dan elakkan daripada menggunakan bahasa berbunga-bunga

seperti dalam karangan berbentuk cerita.



Soalan perbincangan:

Arahan: Tulis karangan berdasarkan soalan di bawah. Panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.


Soalan:

Setiap murid digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum. Tulis karangan tentang kebaikan apabila menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.



Langkah 1: Memahami kehendak soalan


  • Baca dan fahami keseluruhan soalan.

  • Cari dan gariskan kunci soalan (kebaikan aktiviti kokurikulum)

  • Kenalpasti kehendak soalan, jenis karangan dan format karangan(tidak berformat)

Langkah 2: Merangka karangan


  • Pilih mana-mana faedah merangka karangan (peta minda/rangkai kata/penyoalan)

  • Susun semua ini secara ringkas berdasarkan kehendak soalan.

Langkah3: Menulis karangan


  • Tulis karangan berdasarkan rangka isi yang telah dibuat.

  • Semasa mengarang tulis ayat-ayat yang betul strukturnya.

  • Masukkan kosa kata yang menarik dan simpulan bahasa yang sesuai.

  • Cuba kembangkan idea dengan sebaik mungkin dalam beberapa baris ayat.

Langkah 4: Menyemak karangan


  • Selepas menulis karangan, semak penggunaan kosa kata, tanda baca, imbuhan, struktur ayat dan ejaan.

  • Buat pembetulan jika ada kesalahan.

Contoh karangan


Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti di luar bilik darjah. Kegiatan ini terbahagi kepada persatuan, unit beruniform dan permainan. Murid-murid diwajibkan menyertai aktiviti ini kerana mendatangkan banyak kebaikan.


Menerusi aktiviti kokurikulum, kita dapat menambahkan pengetahuan. Contohnya, apabila kita menyertai unit beruniform PBSM, kita dapat mempelajari kaedah rawatan kecemasan. Pengetahuan ini amat berguna ketika membantu orang yang mengalami kemalangan.



Selain itu, apabila kita menyertai aktiviti kokurikulum, tubuh badan kita akan menjadi sihat. Contohnya apabila kita menyertai permainan maka tubuh kita akan mengeluarkan peluh. Tubuh yang sihat akan memudahkan kita memberi tumpuan pada pelajaran.



Seterusnya, kita juga dapat memanfaatkan masa lapang dengan baik. Kita tidak akan terlibat dengan gejala sosial seperti ponteng. Sebaliknya kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah menerusi aktiviti kokurikulum.



Akhir sekali, menerusi aktiviti ini kita dapat memupuk sikap pemimpin pada diri kita. Misalnya kita dipilih sebagai pengerusi atau setiausaha persatuan maka kita dapat belajar cara-cara memimpin ahli-ahli persatuan. Maka pengalaman ini dapat digunakan apabila dewasa kelak.


Kesimpulannya, kita perlu menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah. Begitu banyak kebaikan yang boleh kita manfaatkan bersama.


Friday, September 17, 2010

Syawal Yang Putih

Mentari putih menghulurkan Syawal
lalu kita kupas tentang kemenangan
semalam yang rindu
berjuang dengan peribadi
dalam terik siang memamah sabar
dalam sunyi malam menghimpun doa
kita berlari di atas lajur diri
melakar refleksi hati
membina kuntuman minda
mencari hakiki di sebalik rahsia
yang tersembunyi dalam album hayat
bersama zikir iman
dan munajat kemanusiaan
bersusun di tangga waktu
pengembaraan yang biru.


Putihnya mentari Syawal
melukis manisnya potret pagi
ruang pun bersatu
mengembalikan segala janji
bertemu di laman kasih
menghimpun senyuman yang restu
maaf yang pasrah
di Syawal yang indah.

Penghargaan
Solihin Osman
MSU Shah Alam

Tuesday, August 31, 2010

Aktiviti-aktiviti Hari Kemerdekaan

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan, sekolah kamu telah menganjurkan aktiviti yang menarik. Sebagai setiausaha majalah sekolah, kamu dikehendaki menulis laporan tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Perasmian dan penutup Hari Kemerdekaan

Tekun mendengar ceramah kemerdekaan

Nyanyian lagu patriotik bersama guru-guru


Penyampaian hadiah kepada peserta yang menang



Persembahan Tahun 5


Persembahan Tahun 5

Peserta sajak dan syair

Nyanyian lagu patriotik


Penyerahan lencana 1Malaysia kepada semua guru










Monday, August 30, 2010

KEMERDEKAAN KE-53

Di wajah suci anak-anak ini ku lihat
sinar
Di hati murni mereka terpahat suatu
impian
Andai sengketa membelenggu sesama
Andai kerakusan menguasai kita
Kemanakah tumpah harapan mereka

Kerana di bahu kitalah terpikul
segunung amanah
Di jemala kita terjunjung selaut ikrar
Melunas sumpah, menunai janji

Ayuhlah
Rakan dan taulan, sahabat dan
saingan
Lupakan beza,
lebihkan
menerima
Bertatihlah bersamaku
Kita berjalan seiringan
Kita melangkah sehaluan

1 suara

1 impian

1 harapan

1 Malaysia

Dato Seri Najib Tun Abd Razak

Friday, August 13, 2010

Contoh Karangan Fakta

Permainan Wau

Pendahuluan
-Wau adalah permainan tradisi yang telah dimainkan beratus tahun yang lalu.


Isi-isi penting
-Wau terkenal di negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
-Wau dimainkan selepas menuai padi dan ketika masa lapang.
-Wau juga dipertandingkan dari segi corak dan mampu naik tinggi.,
-Wau ada banyak jenis seperti wau kucing, merak, bulan, ikan dan lain-lain.
-Wau dihasilkan dengan cara mengadunkan buluh dan kertas warna yang dicorakan
-Kini wau semakin tidak digemari kerana terdapat banyak permainan baharu.



Penutup
-Sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan permainan ini tidak pupus.



Permainan Wau


Di negara kita terdapat pelbagai jenis permainan tradisional antaranya congkak, gasing, galah panjang dan wau. Wau adalah permainan tradisi yang telah dimainkan oleh rakyat negara ini beratus tahun yang lalu.

Di negara kita permainan wau sangat terkenal di negeri pantai timur iaitu negeri Kelantan dan Terengganu. Di negeri ini wau dimainkan ketika masa lapang. Pada musim permainan wau, ramai pelancong asing datang menontonnya.

Wau ini bukan sahaja dimainkan malah dipertandingkan. Wau yang mempunyai corak yang tercantik dan mampu naik tinggi dikira sebagai pemenang.

Wau ada berbagai jenis seperti wau kucing, wau merak, wau bulan, wau ikan dan lain-lain lagi. Wau bulan dan wau merak adalah wau yang sering dimainkan. Wau dibuat daripada buluh dan kertas berwarna. Ia kemudiannya dilekatkan dengan corak-corak yang menarik. Wau juga boleh mengeluarkan dengung. Bunyi ini datangnya dari alat yang dibuat daripada mengkuang ataupun pandan yang diletakkan dihujung wau.

Walau bagaimanapun kini permainan ini tidak berapa digemari lagi. Ini disebabkan banyak permainan lain yang lebih hebat dan menguji minda boleh didapati seperti catur, komputer dan lain-lain lagi. Sesuatu perlu dilakukan agar permainan ini tidak dilupakan oleh generasi yang akan datang.

Saturday, July 17, 2010

Puisi

Baca puisi di bawah dengan sebutan dan intonasi yang betul.

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung telah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Tetakkan parang ke dahan sena,
Belah buluh taruhlah temu;
Barang kerja takkan sempurna,
Apabila tidak menaruh ilmu.

Menanam bunga di dalam pasu,
Bunga melati dan bunga pandan;
Jangan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

Banyak orang pergi menjala,
Menjala udang di dalam parit;
Jagalah diri jangan tercela,
Rosak bangsa nanti terpalit.

Jawab soalan-soalan yang berikut.
1. Berdasarkan puisi di atas, semasa muda kita hendaklah ...
A. bertanggungjawab
B. patuh pada arahan
C. tekun berusaha
D. bekerjasama

2. Dengan ilmu pengetahuan, pekerjaan seseorang itu akan menjadi lebih ...
A. pantas
B. halus
C. teratur
D. disukai

3. Apakah keburukannya jika kita selalu mengikut hawa nafsu?
A. menyusahkan negara
B. memudaratkan kawan
C. merugikan diri
D. membebankan masyarakat

4. Antara yang berikut, yang manakah tidak benar tentang puisi di atas?
A. Ilmu amat penting dalam kehidupan
B. Tanpa ilmu, sesuatu pekerjaan tidak akan menjadi sempurna.
C. Orang yang rajin berusaha ialah orang muda dan mentah.

5. Apakah jenis puisi di atas?
A. Pantun nasihat
B. Sajak nasihat
C. Syair nasihat

Thursday, July 8, 2010

Penulisan

Isi tempat kosong dengan pilihan jawapan yang betul.

Sungguh indah di pagi hari,
Tiung menyanyi di pohon keranji

Patuhilah peraturan di jalan raya
Selamat tiba ke tempat dituju
Tolong menolong dalam kesusahan
Memupuk rasa belas kasihan

Makan nasi di Kuala Pahi
Makan dengan berlaukkan kerang
Membazir itu amalan syaitan
Berjimat hidup senang


Buah durian sedap dimakan,
Boleh dibeli di tepi jalan;
...................................................................,
.......................................................... .........


....................................................................,
....................................................................;
Hasad dengki hendaklah dijauhi,
Hati bersih semua sayang.


Pagi-pagi ke kebun rambutan,
Hari gelap barulah pulang;
.................................................................. ,
..................................................................


......................................................................,
......................................................................;
Jangan suka menyombong diri,
Nanti kita akan dibenci.


Megah berkembang si bunga raya,
Hinggap si kumbang menghisap madu;
..................................................................,
...................................................................

Pantun teka-teki

Dibawa orang pergi menjaja,
Matanya banyak telinga tiada;
Walaupun ia bukannya raja,
Di atas kepalanya terhias mahkota.

Rakan karibku adalah tali,
Bermain denganku mestilah berani;
Dilepas aku hidup, dipegang mati,
Di bawa angin menari-nari.

Pinggangnya diikat dengan tali,
Kakinya satu pandai menari;
Dapat berlari sebelum mati,
Dicampak hidup dipegang mati.

Nyaring sungguh bunyi suara,
Butangnya di tekan berkali-kali;
Ada orang cakap berdua,
Tetapi di mana seorang lagi?

Pantun Budi

Pergi ke pulau menggali ubi,
Singgah ke beting dilayar juga;
Sepuluh kali kita berbudi,
Kalau miskin terbuang juga.

Pada berlari baik melompat,
Barang dicari segera dapat;
Sudah berbudi jangan diumpat,
Balasan baik syurga yang dapat.

Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Serta dengan budi bahasanya.

Penat saya bertanam padi,
Nanas juga dipandang orang;
Penatlah saya menanam padi,
Emas juga dipandang orang.

Ambil pisau potong pinang,
Kait-kait batang berduri;
Orang jahat lagi dikenang,
Inikan pula baik budi.

Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang;
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.

Sunday, July 4, 2010

KANDUNGAN PANTUN MELAYU

Pembayang atau sampingan
Pembayang terletak pada bahagian setengah pertama setiap rangkap. Pembayang memainkan peranan untuk memberi persamaan bunyi/rima kepada maksud. Pembayang pada baris pertama hendaklah ada hubung kait dengan pembayang pada baris berikutnya dalam setiap rangkap pantun.

Maksud dan isi
Maksud atau isi terdapat dalam setengah bahagian kedua dalam setiap rangkap pantun. Pada bahagian inilah tersurat dan tersirat apa yang hendak disampaikan dalam pantun tersebut(tema)

Perkataan
Pantun biasnya mengandungi empat atau tiga patah perkataan pada tiap-tiap baris. Pantun yang baik memamparkan bilangan perkataan pada tiap-tiap baris yang sama bilangannya.

Suku kata
Tiap-tiap patah perkataan terdiri daripada tiga atau empat suku kata. Dalam tiap-tiap baris pula hendaklah mengandungi antara lapan hingga dua belas suku kata. Pantun yang baik mengandungi jumlah suku kata yang sama banyak.

Rima atau bunyi
Rima ialah bunyi yang sama pada bahagian tengah atau akhir pada tiap-tiap baris pantun. Rima yang baik mempunyai bunyi yang sama dalam setiap rangkap pantun. Rima pada baris pertama pembayang mestilah sama dengan rima baris pertama maksud dan begitulah seterusnya. Rima pantun yang terbaik ialah a,b,a,b dan ada juga berima a,a,a,a

Pantun dibawah mengandungi 4 patah perkataan dan 9 suku kata setiap baris. Contoh pantun yang baik:

Ba/ik/ ber/ga/las/ ba/ik/ ti/dak,
Bu/li/-bu/li/ ber/ta/li/ be/nang/;
Ba/ik/ ber/ba/tas/ ba/ik/ ti/dak/,
A/sal/ bu/di/ sa/ma/ di/ke/nang/.

Ciri-ciri pantun yang baik
Pantun yang baik ialah pantun empat kerat yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-mengandungi 4 kerat/baris
-jumlah perkataan dalam sebaris antara 4-5 patah perkataan
-jumlah suku kata sebaris antara 8-12 suku kata
-ada hubungan antara pembayang (2 baris di atas) dan maksud (2 baris di bawah)
-bunyi rima akhir seuntai pantun itu mestilah sama a,b,a,b.
-bahasa yang halus, penuh kiasan dan sindiran serta banyak menggunakan unsur alam.
-maksud isinya sarat dengan pengajaran, moral dan falsafah hidup.
-sarat dengan ciri-ciri tradisional- penggunaan rangkap, ada pembayang dan maksud.
-mempunyai nilai hidup masyarakat yang menggambarkan perspektif masyarakat yang
melahir dan menggunakannya.

Jenis-jenis pantun
-Pantun 2 kerat
-Pantun 4 kerat(jenis paling popular)
-Pantun 6 kerat
-Pantun 8 kerat
-Pantun 10 kerat
-Pantun 12 kerat
-Pantun 14 kerat
-Pantun berkait

Fungsi Pantun
-Memberi nasihat sosialisasi dan pendididikan
-Sindiran atau tempelak
-Melepaskan rindu dan kasih sayang
-Menyatakan penghargaan/terima kasih
-Berteka-teki atau mencabar ketangkasan fikiran
-Hiburan atau jenaka

Di mana orang berpantun
-Majlis pertunangan dan perkahwinan
-Teks pengacara/juruacara dan ucapan dalam majlis rasmi
-Pertandingan berbalas pantun
-Alunan lagu rakyat
-Lagu kanak-kanak
-Lagu-lagu asli
-Dikir Barat dan lain-lain lagi


Dewan Bahasa dan Pustaka