BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, October 21, 2010

Karangan Fakta

Pengenalan

1. Karangan jenis ini meminta murid memberi pendapat, saranan dan idea terhadap sesuatu tajuk .

2.Karangan ini antara jenis karangan yang popular diuji dalam UPSR.

3. Kunci kata bagi karangan fakta biasanya memerlukan calon menulis karangan tentang

faedah, kebaikan, kepentingan dan cara-cara.

4. Setiap perenggan memerlukan idea yang berlainan dan murid perlu menghuraikan isi terlebih

dahulu, kemudian diikuti huraian yang berbentuk contoh dan kesan.

5. Gunakan bahasa yang tepat dan elakkan daripada menggunakan bahasa berbunga-bunga

seperti dalam karangan berbentuk cerita.



Soalan perbincangan:

Arahan: Tulis karangan berdasarkan soalan di bawah. Panjang karangan mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.


Soalan:

Setiap murid digalakkan untuk menyertai aktiviti kokurikulum. Tulis karangan tentang kebaikan apabila menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.



Langkah 1: Memahami kehendak soalan


  • Baca dan fahami keseluruhan soalan.

  • Cari dan gariskan kunci soalan (kebaikan aktiviti kokurikulum)

  • Kenalpasti kehendak soalan, jenis karangan dan format karangan(tidak berformat)

Langkah 2: Merangka karangan


  • Pilih mana-mana faedah merangka karangan (peta minda/rangkai kata/penyoalan)

  • Susun semua ini secara ringkas berdasarkan kehendak soalan.

Langkah3: Menulis karangan


  • Tulis karangan berdasarkan rangka isi yang telah dibuat.

  • Semasa mengarang tulis ayat-ayat yang betul strukturnya.

  • Masukkan kosa kata yang menarik dan simpulan bahasa yang sesuai.

  • Cuba kembangkan idea dengan sebaik mungkin dalam beberapa baris ayat.

Langkah 4: Menyemak karangan


  • Selepas menulis karangan, semak penggunaan kosa kata, tanda baca, imbuhan, struktur ayat dan ejaan.

  • Buat pembetulan jika ada kesalahan.

Contoh karangan


Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti di luar bilik darjah. Kegiatan ini terbahagi kepada persatuan, unit beruniform dan permainan. Murid-murid diwajibkan menyertai aktiviti ini kerana mendatangkan banyak kebaikan.


Menerusi aktiviti kokurikulum, kita dapat menambahkan pengetahuan. Contohnya, apabila kita menyertai unit beruniform PBSM, kita dapat mempelajari kaedah rawatan kecemasan. Pengetahuan ini amat berguna ketika membantu orang yang mengalami kemalangan.



Selain itu, apabila kita menyertai aktiviti kokurikulum, tubuh badan kita akan menjadi sihat. Contohnya apabila kita menyertai permainan maka tubuh kita akan mengeluarkan peluh. Tubuh yang sihat akan memudahkan kita memberi tumpuan pada pelajaran.



Seterusnya, kita juga dapat memanfaatkan masa lapang dengan baik. Kita tidak akan terlibat dengan gejala sosial seperti ponteng. Sebaliknya kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah menerusi aktiviti kokurikulum.



Akhir sekali, menerusi aktiviti ini kita dapat memupuk sikap pemimpin pada diri kita. Misalnya kita dipilih sebagai pengerusi atau setiausaha persatuan maka kita dapat belajar cara-cara memimpin ahli-ahli persatuan. Maka pengalaman ini dapat digunakan apabila dewasa kelak.


Kesimpulannya, kita perlu menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah. Begitu banyak kebaikan yang boleh kita manfaatkan bersama.


0 comments: